Powered by Blogger.

Temubual Calon BN

Wednesday, April 21, 2010

Temubual yang mengandungi 21 soalan diantara Datuk Ahmad
A Talib (pengacara) dan calon Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor, P
Kamalanathan baru-baru ini menarik untuk dipersoal.

Sebagai seorang yang berfikiran bebas daripada belenggu politik
kepartian, saya agak sangsi dengan dakwaan Kamalanathan yang menggelar
dirinya sebagai 'anak 1Malaysia' Apakah dengan hanya petah bertutur
bahasa Malaysia dan mampu mengalirkan air mata buaya disisi seorang
makcik tua berbangsa Melayu ketika berkempen di Hulu Selangor sudah
melayakkan dirinya dinobat sebagai 'anak IMalaysia'? .

Mungkin 'anak 1Malaysia' yang dimaksudkan beliau hanya pada namanya
saja iaitu Kamalanathan. Kamal nama Melayu, Alan nama anak Cina,
Nathan pula nama seorang India (ketawa).

Calon BN itu membuat kesilapan besar pada sesi soal jawab ke #8.
Beliau mengatakan bahawa kefasihan berbahasa Melayu dikalangan rakyat
Malaysia sebagai sesuatu yang tidak penting (transkrip perbualan tidak
dirakam dalam artikel dibawah)

Kamalanathan juga mengakui bahawa beliau dan keluarga tidak mengguna
bahasa kebangsaan ketika berinteraksi sesama ahli keluarganya. Mereka
hanya mengguna bahasa Tamil dan Inggeris saja. Anak 1Malaysia apa
kejadah namanya kalau macam itu?

Lihat rakyat Indonesia, etnik Cina di sana bukan saja petah bertutur
dalam bahasa Indonesia malah mereka juga turut menggunakan bahasa
tersebut ketika berbual dengan anak-anak dan pasangan masing-masing.
Berkemungkinan besar, bahasa Indonesia juga turut digunakan mereka
ketika berkomunikasi diranjang.

Berikut adalah butiran temubualnya:

Soalan #1: TERIMA kasih saudara Kamalanathan kerana sudi meluangkan
sedikit masa ke studio TV3. Saya hendak tanya satu soalan, pada hari
saudara dipilih dan diumum sebagai calon untuk Hulu Selangor, saudara
buat satu ucapan. Dalam ucapan itu saudara kata ‘saya anak 1Malaysia’.
Saya tak pernah dengar lagi seseorang berkata demikian, boleh saudara
jelaskan.

Terlebih dulu saya ucapkan terima kasih kepada pihak TV3 kerana sudi
jemput saya. Ucapan pada hari itu bukan ucapan yang dibuat-buat, ia
spontan. Apabila saya dalam proses menyediakan teks ucapan saya, saya
tidak mahu cakap banyak tapi mahu yang praktikal, sesuatu yang boleh
diterima dan diharap boleh membawa Malaysia ke persada berbeza. Pada
masa itu, wujudnya pada pemikiran saya konsep 1Malaysia yang
diilhamkan Perdana Menteri. Maka apabila saya menilai dan melihat
konsep yang diwujudkan Perdana Menteri, saya lihat apakah yang
dimaksudkan sebagai 1Malaysia. Apakah nilai yang terpendam dalam
1Malaysia.

Saya lihat dalam semua aspek, pergaulan saya dengan rakan saya,
bagaimana penerimaan rakan terhadap saya secara keseluruhan dan
keupayaan bermesra dengan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan
latar belakang mereka sama ada kaya, miskin. Ciri 1Malaysia, bagi saya
bukan saya ada ciri ini, ramai.... beratus-ratus ribu anak Malaysia
yang bercirikan 1Malaysia. Inilah yang merumuskan pendapat saya yang
mungkin saya harus gunakan. Saya tak tahu pada masa itu ungkapan ini
diterima atau ditertawakan orang ramai, tapi saya sedar ungkapan ini
bukan saja diterima tapi saya gembira kerana konsep 1Malaysia yang
bukan saja memperkasa negara kita, tetapi membina negara yang
mempunyai identiti pelbagai kaum.

Soalan #2: Sekarang ini rata-rata kita dengar Kamalanathan, namanya
pun 1Malaysia, Kamal nama Melayu, Alan nama Cina, Nathan nama seorang
India. Boleh dikaitkan kenapa begini.

Saya terlebih dulu mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa saya sebab
mereka berfikiran jauh ketika melahirkan saya. Anak yang dilahirkan
itu dinamakan Kamalanathan, mungkin suatu hari menjadi calon (Barisan
Nasional) BN. Saya juga gembira ketika Timbalan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan nama saya sebagai calon, dia kata
nama ini nama 1Malaysia.

Soalan #3: Ketika saudara dipilih sebagai calon, apa perasaan saudara,
saya percaya mungkin rasa terkejut, gembira... boleh saudara huraikan
sedikit.

Pada masa itu, jam lebih kurang 12.30 tengah hari, saya bersama
beberapa rakan sedang bersiap sedia untuk ke Bukit Sentosa mendengar
pengumuman siapa calon BN. Ketika itu saya terima panggilan daripada
presiden parti (MIC), yang meminta saya bersiap sedia ke sana. Saya
terkejut dan tak malu untuk menyatakan pada masa itu saya menangis,
tangisan terkejut, air mata saya keluar, kerana tangisan itu mungkin
saya teramat gembira dan terkejut. Saya diberi tanggungjawab yang
begitu besar kerana Parlimen Hulu Selangor bukan satu kawasan yang
kecil, ia besar dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula namakan calon
sebelum itu. Hanya satu dalam fikiran saya, ini tanggungjawab besar
dan kiranya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sudah membuat
keputusan bersama presiden parti, saya juga ada sesuatu untuk
ditawarkan kepada rakyat, saya terima pencalonan itu.

Soalan #4: Difahamkan saudara sudah turun bekerja untuk membantu calon
BN sebelum itu.

Benar, saya sebagai Ketua Penerangan MIC dan Penyelaras Kebangsaan
bagi Putera MIC diberi tanggungjawab untuk memastikan semua aspek
dalam proses pilihan raya kecil ini dilaksanakan dengan lancar. Saya
sibuk mewujudkan Facebook, Twitter dan blog untuk mempromosi calon
yang akan dicadang MIC dan diterima BN. Saya berjumpa pengundi untuk
membuat kajian pendekatan orang ramai, apa yang perlu dilakukan.



Soalan #5: Apa komen isteri bila tahu saudara akan jadi bertambah
sibuk, apa kata dia.

Bila saya maklumkan kepada isteri bahawa saya dinamakan sebagai calon
BN, dia lebih yakin daripada saya dan ibu bapa saya juga turut yakin,
begitu juga anggota keluarga saya yang lain. Mereka sedar bahawa saya
ini umpama sudah berkeluarga dengan rakyat, mereka nyatakan ‘you ini
pentingkan kerja politik daripada rumah tangga, tanggungjawab sebagai
suami, anak terabai, kurang perhatian”. Bagi saya ia memang benar dan
saya cuba sedaya upaya untuk laksanakan tanggungjawab sebagai anak,
suami, abang, saudara, kawan... saya cuba tetapi mereka sedar sejak
kebelakangan ini bila saya dilantik sebagai Ketua Penerangan parti,
saya asyik keluar memberi penjelasan kepada rakyat, konsep, polisi
parti.

Soalan #6: Bagaimana dengan ibu bapa dan isteri, adakah mereka turun
sekali membantu kempen.

Ibu bapa saya bersama saya sejak hari penamaan calon, begitu juga
isteri saya. Mereka bersama saya setiap hari, berkempen dari jam 6
pagi hingga 2 pagi, balik rumah pula saya ada mesyuarat strategi
dengan rakan yang mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam.

Soalan #7: Menyingkap zaman awal ketika dalam persatuan, pertubuhan
bukan kerajaan (NGO), berapa lama aktif dalam politik.

Saya menjadi ahli MIC sejak usia 18 tahun, jadi ahli biasa dan tahun
ini saya melalui tahun yang ke-26. Saya aktif dalam politik sebab ayah
saya pun aktif dalam MIC dan saya ikut jejak langkah beliau. Walaupun
ayah saya aktif, dia hanya aktif pada peringkat cawangan dan pernah
jadi ahli Majlis Daerah Selayang. Saya nampak semangat kecenderungan
dia dalam politik untuk bantu orang ramai. Pada masa itu, saya lihat
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu juga begitu aktif menyelesaikan
masalah rakyat dan saya lihat di sanalah wujudnya politik pada diri
saya. Politik ada pada jiwa saya, khidmat masyarakat pun ada dalam
jiwa saya.

Soalan #8: Satu perkara yang saya dapati bila saudara bercakap dengan
orang ramai, mereka kata saudara fasih berbahasa Melayu. Saya kira
setiap orang patut fasih, tetapi kefasihan saudara buat orang ramai
rasa suka, senang. Di mana saudara dapat belajar dan bertutur bahasa
dengan fasih.

Saya berasa setiap orang yang ingin, suka atau fasih bahasa Melayu,
mereka perlu memahami maksud bahasa itu. Bahasa Melayu bagi saya
bahasa yang unik, mudah difahami dan tidak begitu sukar. Saya harus
berterima kasih pada cikgu saya yang mengajar Bahasa Melayu ketika
saya di Sekolah Rendah Sinaran Budi dan Sri Gading, iaitu pendidikan
awal saya di Rawang. Mereka tanam benih awal dan saya lihat ramai
orang bila mereka cakap bahasa Melayu, saya selalu teringat saya ingin
cakap bahasa Melayu seperti mereka. Saya ini agak fanatik, tak suka
apabila kita ‘mengenglishkan’ bahasa Melayu sebab bahasa ini ada
ayatnya sendiri, tetapi ada pihak yang tak bagi penekanan dalam bidang
itu untuk memudahkan bahasa Melayu.

Soalan #9: Adakah saudara boleh bertutur bahasa lain selain bahasa
Tamil, Inggeris dan bahasa Melayu

Saya jika nak cari makan, Mandarin bolehlah sikit-sikit. Saya belajar
daripada jiran saya beberapa ayat, tetapi bila saya cakap bahasa ini,
jika ada maklum balas yang saya faham, saya jawab balik, mereka pun
kadang-kadang terkejut, mereka ingat saya tahu lebih daripada itu.
Saya suka belajar bahasa.

Soalan #10: Dalam politik, adakah itu satu kelebihan.

Memang... tidak dapat dinafikan ia adalah satu kelebihan besar. Siapa
yang ada lebih tiga atau empat bahasa akan main peranan penting kerana
ia menunjukkan bahawa anda boleh berhubung dengan masyarakat pelbagai
kaum. Dengan isteri saya cakap bahasa Tamil dan Inggeris, dengan
keluarga saya di rumah saya guna bahasa Tamil, saya jarang bercakap
dengan keluarga guna bahasa Melayu. Saya baca surat khabar Melayu dan
saya tengok berita pun berita bahasa Melayu. Saya juga baca kamus.

Soalan #11: Dalam mana-mana pilihan raya, orang yang mengundi akan
menaruh harapan kepada wakil mereka tidak kira siapa. Bagi saudara,
jika menang, apa keutamaan yang saudara akan beri.

Ketika memberi ucapan ketika bertemu, bermesra dengan kawan atau
pengundi di Hulu Selangor, saya cakap dengan mereka bahawa saya tidak
janji ‘bulan atau bintang’. Saya cakap saya akan buat yang terbaik,
berjanji buat yang terbaik kepada rakyat. Mungkin sesetengah orang
rasa ia tidak cukup, tetapi bagi sesetengah orang berasa lebih
daripada cukup, ia berbeza. Keutamaan saya ialah keperluan asas. Hulu
Selangor adalah satu kawasan luar bandar dan keperluan asas menjadi
satu keutamaan penting yang akan saya beri keutamaan. Yang kedua, Hulu
Selangor ada banyak kawasan tanah yang kita boleh buat pembangunan dan
kerajaan BN memang memerlukan tanah itu dan boleh melakukan
pembangunan sewajarnya.

Saya juga sudah melawat Felda. Misalnya, tanaman kelapa sawit, dengan
teknologi yang ada, kita ada kerajaan yang boleh bantu mewujudkan
bio-diesel guna pelepah kelapa sawit. Ini perlu diberi keutamaan
kerana ia memberi sumber pendapatan.
Selain itu, aspek yang perlu diberi penekanan, termasuk penubuhan
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti dicadangkan Perdana
Menteri baru-baru ini, dengan menubuhkan Universiti Teknologi Mara
(UiTM). Ini penting kerana kita sedar bila IPTA diwujudkan di sana,
banyak pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan, industri wujud, rumah
sewa naik, kedai baru dibuka, peluang pekerjaan untuk rakyat di Hulu
Selangor.

Soalan #12: Boleh bagi anggaran, masa bila saudara jumpa pengundi,
tadi saudara sebut jam 6 pagi, itu kempen pertama atau masa di rumah.

Saya bangun jam 6 pagi dan bersedia 30 minit kemudian. Pertama saya
pergi ke pasar berdekatan memandangkan saya tinggal di Rawang. Saya
kenalkan diri sebab saya orang baru. Lepas itu, program rasmi bermula
jam 8.30 pagi, saya akan melawat semua pejabat jentera pilihan raya
BN, lebih kurang 40 hingga 45 jentera BN di seluruh Parlimen Hulu
Selangor sudah dilawati, tinggal beberapa lagi yang tidak dapat
dihabiskan, mungkin selepas ini sambung sepenuhnya. Lepas itu, lawatan
akan diteruskan ke tempat lain, berjumpa dengan ramai pengundi. Mereka
jemput saya secara ikhlas, memandangkan saya ada tanggungjawab, saya
kena pergi.

Mereka ingin bertemu dan nak kenal Alan, Nathan dan Kamal, iaitu 3
dalam 1. Saya dengar rintihan dan keluhan mereka. Mereka tanya satu
saja, mengapa kita harus undi BN. Senang saja saya kata saya akan buat
terbaik, beri saya peluang. Jika rasa saya tak baik, Pilihan Raya Umum
Ke-13 tak jauh, boleh hukum saya, tapi siapalah Ahli Parlimen yang
hendak kerja singkat. Saya akan buat terbaik demi Perdana Menteri yang
iktiraf pencalonan saya. Saya harus buat yang terbaik... demi parti.
Sekiranya saya gagal, kegagalan ini bukan saja hampakan saya, tetapi
hampakan ramai insan yang percaya Kamalanathan ini boleh beri
perkhidmatan. Saya rela hampakan diri saya, tetapi saya tak mahu
hampakan mereka yang akan undi saya.

Soalan #13: Jika bandingkan dengan kempen pilihan raya umum lalu yang
saudara turun dan dibanding pilihan raya kecil ini, boleh terangkan
sedikit, bagaimana tekanan dulu dan tekanan sekarang dan jangkaan
orang ramai, harapan mereka terhadap saudara.

Pilihan raya umum berbeza dengan pilihan raya kecil. Pilihan raya umum
ramai sangat bertanding, seluruh negara, jadi tidak ada fokus, tumpuan
kepada semua kerusi Parlimen di seluruh Malaysia. Pilihan raya kecil
fokus kepada satu kawasan saja, semua bertumpu, termasuk media. Itu
yang beri cabaran. Apa pun kita harus teruskan seberapa berat mana
cabaran itu harus terima dengan hati terbuka.

Soalan #14: Dalam kempen lalu yang saudara pernah bantu mungkin
berlaku kesilapan, jadi kesilapan macam mana harus dielakkan.

Paling pertama, fitnah. Kita tidak harus wujudkan fitnah. Dalam
perjumpaan saya dengan semua pengundi, saya katakan mungkin mereka
yang wujudkan fitnah ini satu hobi, tetapi saya beritahu mereka,
sesiapa yang buat begitu akan terima balasan, masa itu manusia akan
sedar fitnah yang dibuatnya.

Soalan #15: Bagi saudara yang baru, muda, mungkin belum ada sesiapa
yang membuat fitnah.

Saya berdoa, saya juga tak wujud fitnah pada orang lain dan saya harap
mereka juga tidak berbuat demikian. Saya juga memaklumkan kepada rakan
seperjuangan saya, kita hanya berkempen apa yang saya boleh buat,
pencapaian saya, apa BN boleh lakukan, saya berkempen atas kejayaan BN
dan saya akan berkempen terhadap apa Kamalanathan boleh capai
sekiranya diberi peluang.

Soalan #16: Saudara harus sedar jika kita membuat janji, kita dipegang
pada janji, manusia dipegang pada janji, lembu dipegang pada tali.
Jadi jika gagal laksana tugas dengan baik dan kalau orang tak percaya
Kamalanathan akan dihukum, bagaimana penerimaan orang ramai terhadap
saudara apabila turun berjumpa mereka.

Apabila bertemu dengan mereka, saya hanya dapat berjanji beberapa
perkara. Satu, diri saya untuk memberi perkhidmatan yang diperlukan
rakyat di Hulu Selangor. Kedua, saya tidak kisah sama ada saya diundi
atau tidak, saya akan tetap teruskan perjuangan membantu rakyat. Sebab
saya sudah beri perkhidmatan kepada rakyat sejak 26 tahun lalu, saya
pernah ditewaskan dalam beberapa pemilihan parti, jadi saya berpegang
pada janji, iaitu perkhidmatan saya. Saya akan dengar rintihan mereka,
akan cari penyelesaian sebab saya berterus-terang dengan mereka.

Soalan #17: Seseorang yang berkhidmat untuk masyarakat, ada ikon yang
menjadi pendorong. Bagi saudara selama 26 tahun berkhidmat dalam
parti, boleh saudara terangkan sedikit siapa individu yang menjadi
obor kepada perjuangan.

Ramai... ramai pemimpin Malaysia yang saya ikut jejak langkah mereka
kerana setiap pemimpin mempunyai keunikan masing-masing. Saya ambil
yang terbaik daripada setiap pemimpin ini dan menggunakan, memahami
cara pimpinan mereka untuk membantu saya melangkah ke hadapan. Antara
pemimpin yang saya lihat contoh terbaik dalam aspek berbeza ialah
Datuk Seri S Samy Vellu; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi; seorang lagi pemimpin yang saya
hanya kenali rapat beberapa hari lalu dan saya begitu tertarik dengan
cara dia menegur, memberi nasihat pada saya, ialah Tan Sri Muhyiddin
Yassin, cara percakapannya amat merendah diri, nasihat diberi begitu
bernas. Saya juga tertarik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak sebab beliau mempunyai banyak idea baru, termasuk memberi
penekanan kepada masyarakat pelbagai kaum. Selain itu, saya tertarik
dengan pemimpin seperti John F Kennedy, Nelson Mandela, Mahatma Gandhi
dan Barack Obama. Ramai lagi pemimpin berjasa dan menunjukkan cara dan
inisiatif baru menjayakan negara mereka.

Soalan #18: Selepas ini saudara akan menjadi lebih sibuk dan ini akan
mencuri banyak masa, hobi umpamanya. Saya tak tahu sama ada saudara
main golf, suka membaca. Apa hobi saudara dan bagaimana hendak
meneruskan hobi ini.

Hobi saya suka memandu, sebab bila memandu seorang diri, saya berfikir
apa yang harus saya lakukan. Selain itu, saya suka merantau, membaca
biografi. Saya juga pernah ke ‘driving range’ beberapa tahun lalu
untuk belajar golf, saya masih di ‘driving range’. Mungkin kerana saya
tak berapa minat dengan golf, tetapi saya suka bowling, squasy,
badminton, saya juga suka bola sepak dan saya menunggu Piala Dunia
pada Jun ini, diharap negara pilihan saya, England, menang.

Soalan #19: Apa yang menjadi pendorong, selain daripada pemimpin dunia
dan tempatan, apa yang mendorong kepada saudara untuk mempunyai
semangat berkhidmat.

Kecenderungan yang tinggi, ‘passion’. Saya dalam parti 26 tahun
sebagai pekerja parti, saya berkhidmat dalam Institut Perhubungan
Awam, saya buat sebab saya suka apa yang saya buat. Saya tak perlu
ganjaran untuk melakukan kerja ini. Perkataannya ialah ‘passion’ dan
ini akan meneruskan perjuangan saya. Saya percaya apabila saya diberi
tanggungjawab oleh presiden parti untuk tubuh Putera MIC untuk mencari
ahli, saya kata pada Putera, jangan harap ganjaran sebab ganjaran itu
tidak akan datang, ia datang bila kita bagi perkhidmatan, bila
perkhidmatan kita ikhlas, ganjaran itu akan datang.

Soalan #20: Pernah ada orang datang (ucap terima kasih).

Pernah... bila kita bantu seorang pelajar masuk ke IPTA, dapat bantuan
dan kita cakap awak berjaya dapat tempat dalam IPTA selepas percubaan
pertama gagal, mereka gembira dan berterima kasih. Saya kata saya
tidak buat apa-apa, saya hanya jambatan, tetapi awak ada kelayakan,
awak harus dapat apa yang awak perlu dapat, saya hanya jadi jambatan
untuk memudahkan perjalanan awak.

Soalan #21: Sudah ada tanda perkhidmatan saudara dihargai. Apa harapan
saudara pada pilihan raya ini.

Saya harap 60,000 pengundi di Hulu Selangor beri saya satu peluang.
Satu peluang ini bagi saya, saya akan buat yang terbaik. Saya akan
beri perkhidmatan 120 peratus, dan saya datang dari Rawang bukan jauh
dekat saja, tetapi saya khuatir kerana mungkin saya tak dapat jumpa
60,000 lebih pengundi di Hulu Selangor. Saya akan sedaya upaya jumpa
seberapa ramai pengundi, tetapi sekiranya saya tidak dapat jumpa, jari
sepuluh saya susun. Saya mohon maaf, tapi jika saya diberi peluang
saya berikrar akan jumpa pengundi dalam masa terdekat. Dalam masa enam
bulan pertama ini saya akan jumpa semua pengundi untuk mengenali
mereka dengan lebih dekat. Saya menyatakan ini kerana saya mencari
kawan bukan lawan di Hulu Selangor.


  © Blogger templates 1HuluSelangor by 1HuluSelangor 2010

Back to TOP